Salam Sejahtera dan Selamat datang

"Firman Allah Taala yg bermaksud : "Apabila dikatakan kepada mereka "Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul", nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu. - An Nisaa', 61.

Thursday 14 July 2011

Nik Aziz Sokong BERSIH 2.0

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyokong sekiranya himpunan BERSIH 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihan raya.

Mursyidul Am PAS itu menegaskan, pilihan raya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ia menyentuh soal kepimpinan negara, lapor Harakahdaily.

NONE"Sedangkan menjaga diri sendiri juga wajib ikut cara Islam, dengan menikmati semua perkara halal, apa lagi soal mentadbir negara? katanya kepada akhbar internet PAS itu.

Semalam Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilapor berkata PAS akan mendesak BERSIH 2.0 sekali lagi menganjurkan perhimpunan itu sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memenuhi tuntutan gabungan itu dalam masa terdekat.

Mohamad yang pengerusi badan penggerak mobalisasi demokrasi PAS mengingatkan SPR supaya tidak berdolak-dalik kerana empat daripada lapan tuntutan itu boleh dilakukan suruhanjaya itu.

Nik Aziz mendakwa perhimpunan Sabtu lalu sepatutnya berjalan dengan baik sekiranya Umno tidak memperalatkan polis supaya menyekat perhimpunan tersebut.

Katanya, perasaan manusia ibarat banjir yang akan mengganas dan menghanyutkan apa sahaja sekiranya disekat.

Mengulas dakwaan bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohammad berlakon sakit, Nik Aziz berkata hanya rakyat yang menjadi hakimnya.

"Orang Umno memang begitu, suka menafikan, dia tuduh kita (PAS), tetapi rakyat yang akan menjadi hakim, Insya-Allah," katanya.

Sumber Malaysiakini.

Wednesday 13 July 2011

10,000 rakyat sambut hasrat Anwar lancar Bersih 3.0

 
Sumber : Penang Daily.
 
Lebih 10,000 rakyat menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perhimpunan aman sekali lagi di ibunegara sekiranya 8 hasrat Bersih 2.0 tidak dilaksanakan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tidak akan berhenti setakat ini sahaja selagi tidak ada perubahan dilakukan oleh Najib (perdana menteri).

"Kamu boleh pukul, belasah, langgar (dan) tembak rakyat tapi kamu tidak boleh tawan hati rakyat," ujarnya malam tadi lalu disambut dengan laungan "Bersih 3" oleh rakyat.

Penampilan Anwar di Tapak Expo Seberang Jaya, Pulau Pinang dengan memakai  "penyokong"  di lehernya akibat dikasari oleh polis pada perhimpunan aman Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Anwar berkata, rakyat tidak boleh lagi akur dengan pentadbiran Najib kerana kerajaan pusat yang diteraju Umno BN sekarang sanggup menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerahan polis dan rancangan mengerah tentera untuk menentang kebangkitan rakyat

Program anjuran Jabatan Penerangan Pejabat Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu turut menampilkan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu yang terpaksa duduk di atas kerusi roda kerana mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan.

Punca kecederaan Mohamad Sabu dikatakan akibat dilanggar oleh Land Rover Polis pada Sabtu lalu.


Mohamad Sabu (gambar atas) semasa berucap berkata, "andai kata Bersih 2.0 buat keputusan (pada) 2 minggu lagi (untuk) berhimpun, setuju atau tidak?"

Rakyat yang hadir lantas menyahut, "setuju".

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar bawah) pula berkata, tindakan pentadbiran Najib mengharamkan perkataan "Bersih" dan memakai maju T kuning menunjukkan kerajana pusat kian terdesak dengan kebangkitan rakyat.


Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan pusat tidak mampu lagi mengugut rakyat, khususnya orang bukan Melayu dari menyokong usaha Bersih 2.0 memperbaiki sistem demokrasi dan pilihan raya negara.

Pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir antaranya Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mansor Othman, Profesor Dr P Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang), Datuk Saleh Man (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) dan exco-exco kerajaan negeri. -END
  

Dr Asri: ‘Islam tak beri pemerintah lesen lakukan apa sahaja’

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.

Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.

“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.

Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.

Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”

“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.
Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.

“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.

Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.

Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.

“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.

“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”

Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.
Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”

Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.

“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?

“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya.

Thursday 23 June 2011

PAS NS buat perubahan menyeluruh

SEREMBAN, 22 Jun: PAS Negeri Sembilan membuat perubahan menyeluruh dalam organisasinya apabila membentuk pasukan baru dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan PAS negeri malam tadi.

"Pembentukan ahli perhubungan ini adalah berteraskan keupayaan untuk menghadapi PRU 13
dan keseimbangan peranan ahli di peringkat negeri dan kawasan," kata pesuruhjayanya, Mohamad Taufek Abdul Ghani (gambar).

Bagi beliau, kabinet ini adalah untuk rakyat Negeri Sembilan dari pelbagai latar belakang, dari peneroka, pegawai kerajaan dan swasta, pekerja industri hingga kepada  para profesional untuk memberikan keyakinan bahawa PAS boleh mentadbir negeri khasnya meningkatkan pelaburan.

Mesyuarat pimpinan pesuruhjaya baru PAS negeri  itu melantik Dr Rosli Yaakop, bekas pesuruhjaya dan seorang pakar ekonomi sebagai timbalan pesuruhjaya (TPJ) I, Abdul Rahman bin Ramli, seorang peneroka yang juga Yang Dipertua PAS  (YDP) Kawasan Jempol sebagai TPJ II, manakala  Haji Anuar Azahari bekas pengurus bank yang juga YDP Rasah sebagai TPJ III.

Mesyuarat itu juga melantik Mohamad Hassan bin Tamby sebagai Setiausaha Perhubungan,  Haji Ramli bin Ismail (Bendahari) manakala Ustaz Norazman bin Mohamad sebagai Ketua Penerangan manakala Hj Kamarol Ridzuan bin Mohd Zain dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) .

Dua orang dilantik sebagai penolong setiausaha iaitu Ustaz Khairul Azlan bin Mazlan dan Cik Siti Faridah binti Abd Samad.

Di samping itu, bekas pesuruhjaya yang kini dilantik sebagai AJK PAS Pusat, Zulkiply Mohamad bin Omar dilantik sebagai AJK disamping Haji Kassim bin Rahmat, Tuan Syed Mohamad Fuad bin Syed Ahmad, Hj. Ir. Mohd Nor bin Abd Rahman dan Nor Anif bin Selamat.

Pembentukan ini dibuat melalui mesyuarat pertama malam tadi yang dibuat di  Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Seremban.

Mesyuarat dihadiri oleh semua YDP dan Setiausaha kawasan- kawasan serta ketua dan setiausaha dewan-dewan dalam PAS Negeri Sembilan.

Perlantikan Penolong Setiausaha 3 dan 2 lagi AJK tambahan akan dibuat pada minggu depan iaitu dalam mesyuarat ke-2.

Monday 20 June 2011

Bersih 2.0: Kerajaan guna taktik takutkan rakyat, kata Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat bagi menghalang orang ramai daripada menyertai Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata, hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihan raya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh.

“PAS bersama semua parti politik pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan  yang menganggotai koalisi Bersih, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu Nasrudin berkata, kerajaan perlu jelas bahawa perhimpunan 9 Julai ini hanya satu perhimpunan aman dan ia diambil daripada roh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.


“Ini bermakna, Perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, Bersih tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya lagi.

Kata beliau lagi selain mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu “takutkan rakyat.”

Kata Nasrudin, teknik menakutkan rakyat dapat dilihat menerusi kenyataan Perkasa pada 13 Jun lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar 15 Jun, Majlis Bekas Wakil Rakyat dua hari kemudian, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pada 18 Jun serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

“Pada 19 Jun juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor menuduh bahawa Bersih 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya,” kata Nasrudin.

“Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari.

“Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba,” katanya.

Nasrudin menambah kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa.

“Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas,” katanya lagi.

Buku Hijau perinci konsep negara berkebajikan

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) akan mengetuai satu panel khas pelaksana parti yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu dalam bentuk ‘Buku Hijau’ secepat mungkin menjelang pilihan raya umum ke 13.

“Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat,” kata Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Panel tersebut yang ditubuhkan minggu lepas, katanya akan turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud.

“Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan,” tambah beliau.

Semenjak PAS membentangkan penubuhan sebuah negara berkebajikan di Muktamar ke 57, pimpinan Umno and medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.

“Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya minggu lalu.

Meskipun ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan konsep negara berkebajikan kerana manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara kebajikan tetapi ia tetap diserang hebat oleh Umno.

Sebagai reaksi balas, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang.

Sumber : Harakahdaily.

Sunday 19 June 2011

Zahid cabar PAS tunjuk model kebajikan Islam

MACHANG, 19 Jun — Kerajaan pimpinan PAS di Kelantan dicabar mengemukakan model projek negara kebajikan berasaskan Islam yang dilaksanakan sepanjang 20 tahun parti itu memerintah Kelantan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata PAS tidak perlu menuduh Umno kononnya projek-projek yang dijalankan sebelum ini tidak menepati kehendak Islam jika mereka gagal menunjukkan model yang telah dilakukan.

 “Walaupun diberi peluang dalam tempoh yang panjang setahu saya tiada apa-apa model yang boleh ditunjukkan,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.


Beliau merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar di sini, petang semalam.

Zahid mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa bahawa projek-projek kebajikan yang dilakukan oleh Umno tidak menepati kehendak Islam. Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan lebih RM78 juta setahun untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan dalam pelbagai bidang.

Katanya ini termasuk subsidi kepada golongan petani dan nelayan, orang tua, orang kurang upaya (OKU), buku teks dan bantuan wang kepada pelajar miskin.

“Adakah pemberian itu tidak berasaskan Islam,” katanya dalam laporan itu.

Beliau berkata alasan itu cuma untuk mengaburi rakyat apabila parti itu gagal dengan misi untuk membangun sebuah negara Islam dengan yang terbaru menukarkannya untuk membangun sebuah negara berkebajikan berasaskan desakan DAP. Zahid berkata jika parti itu ikhlas untuk membangun sebuah negara Islam dan dengan menampilkan perlembagaannya sebagaimana yang dituntut oleh Islam, Umno akan menyokongnya.

Beliau berharap perjuangan yang tidak konsisten itu dapat membuka mata pengundi yang berada “atas pagar” agar mereka menyokong Umno yang benar-benar ikhlas untuk perjuangan bangsa dan agama pada pilihan raya umum akan datang.

Saturday 18 June 2011

Pemuda tidak akan undur walau setapak

MUBARAK mendesak kerajaan agar menangkap perancang Himpunan BERSIH 2.0 di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri [ISA].

Ini satu ugutan yang keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi.

Saya nasihatkan MUBARAK agar tidak menjadi Husni Mubarak 2.0 yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara.

Mereka mahu ugut siapa? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan. Apa masalah MUBARAK? Apa masalah kerajaan? Untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa, justeru apa yang kami minta adalah untuk keadilan dan ketelusan.

Kita tidak minta lebih. Kita tidak meminta suatu yang merugikan mana-mana pihak termasuk kerajaan. Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini.

Setelah permintaan kita selama ini gagal dilayan dengan baik oleh pihak berwajib, himpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai langkah untuk menunjuk perasaan dan menarik perhatian bahawa permintaan kita adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka.

Cara mahu menangani Himpunan BERSIH 2.0 ialah dengan mengawal himpunan ini agar tidak terdedah kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menunaikan permintaan rakyat tersebut. Bukan dengan ugutan dan tangkapan. Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap.

Insya Allah, saya sendiri akan berada di saf hadapan dan jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya.

Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini.

Saya menyeru semua rakan-rakan anak muda dari seluruh negara agar gembira dan tenang. Himpunan BERSIH 2.0 adalah untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga tidak perlu resah, peniaga tidak perlu bimbang dan orang ramai tidak usah gundah, himpunan ini aman jika mana-mana pihak termasuk pihak polis tidak mencetus provokasi. Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah UMNO dan BN, yang resah ialah UMNO dan BN dan yang gundah ialah UMNO dan BN.

Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masaalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakan lah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa-apa.

Saya menyeru buat kesekian kalinya, datanglah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 nanti dengan happy dan enjoy membawa semangat Visit Day dan Kuala Lumpur adalah destinasi anda kali ini.

Melanconglah dalam negeri. Bukankah ini slogan kerajaan? Pelancongan pada 9 Julai 2011 ini adalah bertemakan Keadilan dan Ketelusan di samping menikmati Kota Raya negara kita sendiri.

Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua pada 9hb Julai 2011 kelak. Salam perjuangan dari saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Friday 17 June 2011

Pemuda PAS Bantah Karikatur Hina Islam

KUALA LUMPUR 17 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari menyerahkan memorandum bantahan terhadap akhbar Utusan Malaysia mengenai penyiaran kartun yang dikatakan menghina sensitiviti Islam yang disiarkan minggu ini.

Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi memberitahu media betapa kartun itu mempersendakan hukum Islam di negara ini dan bakal memberi kesinambungan buruk mengenai persepsi masyarakat terhadap agama ini.

“Dalam hal ini saya lihat (kartun itu) mempersendakan hukum Islam, mempermainkan institusi Islam negara ini dan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam di negara ini bahawa tokoh agama tidak dapat menyelesaikan kes zina dan rogol negara ini, ” tegas beliau kepada media di hadapan pejabat utusan hari ini.

Nasrudin bersama hampir sepuluh delegasi PAS muncul di pejabat Utusan kira-kira jam 9.30 pagi tadi dengan aman walaupun berhadapan dengan hampir 50 polis yang ‘berjaga’ di hadapan pejabat Utusan sejak jam 8.45 pagi lagi.

Menurut Nasrudin, memorandum telah diterima oleh Wakil Jabatan Pengarang yang juga Ketua Meja Jenayah Utusan, Suffian Abu Bakar yang berjanji untuk menyerahkan memorandum itu kepada peringkat lebih tinggi.

Pada 15 Jun lalu, Utusan telah menyiarkan satu kartun bertajuk ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang menggambarkan seorang wanita yang mengadu dirogol tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap perogolnya kerana hanya mempunyai bukti video ketika membuat laporan dengan jabatan agama.

Menurut Nasrudin, hal ini disebabkan kekeliruan pelukis dan pengarang Utusan berkenaan perkara ini.

“Saya rasa dia keliru. Kes rogol dengan kes zina peruntukannya berbeza dalam Islam,” terang Nasrudin lagi.
Justeru Nasrudin memberi tempoh 7 hari kepada Utusan untuk meminta maaf, mengambil tindakan dan memohon maaf terhadap perkara ini.

Jika tidak, Nasrudin menyatakan hasrat untuk meneruskan siri bantahan dan mengadakan perhimpunan yang lebih besar untuk mengutuk insiden ini.

“Saya memberi masa 7 hari agar utusan memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap pelukis karikatur berkenaan,” katanya.

“Saya harap jangan diperkecilkan perkara ini dan mempersendakan dan merendahkan hukum Islam,” tambahnya lagi

Rejab bulan pengukuhan akidah

Oleh : Nisar Mohammad Ahmad

Muqaddimah

Tarikh 27 Rejab yang bakal tiba beberapa hari lagi amat sinonim dengan sambutan Israk Mikraj yang disambut oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Di Malaysia, lazimnya masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi kerajaan mahupun NGO akan menganjurkan sambutan dengan mengadakan majlis ceramah dan sebagainya yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya iktibar di sebalik peristiwa bersejarah ini.

Beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis telah menetapkan tarikh 27 Rejab yang bersamaan dengan hari Rabu, 29 Jun 2011 sebagai hari cuti umum. Saya kira, sudah pasti ketika ini pihak pengurusan masjid dan surau mungkin sedang sibuk menyusun-atur program bagi menyambut peristiwa bersejarah ini memandangkan tempoh masa dengan tarikh tersebut hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa. Pertama - Isra' yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

Sementelah fasa kedua pula – Mi'raj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud; ”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaksa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Semasa mendengar ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.

Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

Saya tidak bermaksud isi kandungan ceramah yang disampaikan tidak menarik, tetapi pada saya mungkin pengolahan cerita di sebalik kisah ini perlu ditambahbaik atau dipelbagaikan dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa agar ia lebih realistik dan masyarakat akan lebih jelas akan hikmah yang terselit di sebalik peristiwa ini.

Justeru, tulisan saya ini tidak berminat untuk menceritakan kembali apa yang semua sudah tahu iaitu kisah dan kronologi perjalanan Rasulullah di dalam peristiwa Israk Mikraj ini, sebaliknya saya akan fokuskan perkara-perkara tersirat di sebaliknya.

Pengukuhan akidah

Kita seringkali dimaklumkan yang bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan namun mengapakah dalam susunan bulan hijriyyah bulan Rejab mendahului bulan Ramadan? Sudah tentu ada yang tersirat di sebalik susunan tersebut.

Antaranya ialah Rejab mengandungi falsafah pemantapan dan pengukuhan aqidah di sebalik peristiwa Israk Mikraj yang berlaku di dalamnya manakala bulan Ramadan adalah pesta ibadah di mana kita akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah dan perkara-perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati?

Begitulah pentingnya persoalan aqidah didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan fasa Makki – yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam diikuti fasa Madani - yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Sifir mudahnya, bagaimana mungkin kita mencintai Allah jika kita belum mengenalNya?


Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, begitu ramai sekali sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang bergoncang aqidah mereka serta menjadi murtad gara-gara tidak percayakan cerita Rasulullah SAW yang telah diisrak' dan dimi'rajkan ke detinasi yang mengikut congakan logik akal manusia yang waras adalah tidak masuk akal untuk berlaku dalam masa satu malam!

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah SAW dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda. Maka berteriaklah Abu Jahal kepada warga Makkah – ”hai warga Makkah, sesiapa yang ingin mendengar cerita sensasi daripada Muhammad, silalah berhimpun beramai-ramai untuk kita sama-sama mendengarnya” – mungkin begitulah bunyinya.

Terlopong dan tersentak

Apabila diceritakan kisah ini oleh Rasulullah SAW, maka ramailah yang terlopong dan tersentak. Bagaimana mungkin mereka ingin percayakan cerita Rasulullah SAW itu kerana setahu mereka jika perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa menggunakan kaedah pengangkutan ketika itu – barangkali menggunakan unta – paling cepat mengambil masa beberapa hari atau minggu. Inikan pula berlaku hanya satu malam.

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga ke Sidratil Muntaha. Oh tak mungkin! Mustahil! Muhammad dusta! Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!”

Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini.

Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah SAW, maka Abu Jahal bertanyakan tentang ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan bantuan dan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal.

Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah SAW, sebaliknya menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir! Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW.

Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang bermanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Kebenaran dakwah

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW perlu ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.

Mungkin analogi pada masa ini, memang ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Maka, mahu tidak mahu, sebarang usaha yang boleh menyedarkan masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni Islam yang mengharamkan penyalahgunaan dan penyelewengan perlu ditentang habis-habisan. Pada mereka lebih baik dibiarkan masyarakat jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat.

Sebab itulah, bila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah dan sebagaimana yang diarahkan Rasulullah SAW seperti perkara-perkara berkaitan hukum-hakam Islam - arak itu hukumnya haram, judi itu haram, rasuah itu haram, berlaku adil itu wajib dan sebagainya, orang akan katakan itu bukan Islam yang sebenar tetapi itu ialah politik!

Itu bukan hukum hudud sebenar tapi itu hudud yang bermotifkan politik! Bukankah persoalan hukum-hakam ini datangnya daripada Islam melaui nas-nas yang muktabar, bukannya melalui politik.

Bahkan Islam tidak bergantung kepada parti politik mahupun sesiapa, tetapi kita semua yang memerlukannya. Jika tiada parti politik sekalipun Islam akan tetap wujud dan hukum-hakamnya tetap perlu dilaksanakan. Maka apa rasionalnya jika kita ingin kembali kepada Islam kita dituduh ingin berpolitik? Begitulah bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar.

Sudahlah tidak suka pada Islam dan syariatnya, dihasut pulak orang lain agar sama-sama membenci agama suci ini. Watak ini saling tak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.

Diukur logik akal

Saya masih tertanya-tanya di dalam diri, jika saya dan tuan-puan berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita mampu menyertai Abu Bakar yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita akan berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW?

Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar. Tapi itulah cabaran yang perlu disahut. Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan neraca logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu mereka. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan yang jauh menjangkaui batasan logik akal manusia.

Kalaulah logik akal menjadi ukuran, bagaimana kita ingin menerima hikmah kisah Nabi Ibrahim AS yang meninggalkan isteri baginda Siti Hajar yang masih di dalam tempoh berpantang
bersama bayi mereka Nabi Ismail AS di tempat yang kontang dan jauh dari manusia lain?

Bukankah arahan Allah itu zalim mengikut tafsiran akal kita yang dangkal ini? Sudahlah ditinggalkan di tempat yang gersang, apabila si anak telah membesar, Allah arahkan pula Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih Nabi Ismail AS – sebuah kisah yang sering diulangcerita di dalam khutbah Eidul Adha setiap tahun.

Namun berkat ketaatan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, maka Allah tukarkan arahan menyembelih Ismail kepada menyembelih seekor kibasy. Nah, jika akal yang dangkal ini sekali lagi digunakan untuk mengukur kewajaran arahan Allah itu, sudah pasti kita akan katakan ia zalim.

Dosa pahala

Begitu juga, jika kita percayakan falsafah manusia yang mengatakan ”seeing is believing” itu, bagaimana ingin kita percayakan perkara sami'yyat di dalam agama ini seperti persoalan dosa-pahala, syurga-neraka dan sebagainya yang mata kasar kita tidak dapat melihatnya. Semua ini perlu dilihat dengan pandangan iman bukannya pandangan mata kasar dan akal semata!

Jika dikait dengan situasi hari ini, amat menyedihkan bila sudah ada yang cuba mempersoalkan hukum dan syariat Allah hanya kerana ia tidak dapat terima oleh logik akal mereka. Ambil contoh hukum hudud dan qisas, meskipun ia bukannya satu-satunya perkara yang ditekankan Islam, namun ini tidak semestinya membuka ruang untuk hukum itu dikritik dan diperlekehkan.

Janganlah kerana tidak sukakan sesetengah orang, hukum-hakam Allah pula yang menjadi sasaran ejekan. Ada yang mempersoalkan jika hukuman hudud dan qisas dilaksanakan, kita tidak mampu lagi membuat jalanraya kerana batu yang perlu digunakan untuk membuat jalanraya telah habis digunakan untuk merejam pesalah zina.

Begitu juga ada yang mengatakan jika hukuman potong tangan dilaksanakan, jenuhla kita makan sup tangan kerana ramai benar yang mencuri pada hari ini. Saya tidak nafikan mungkin terdapat khilaf ulama' tentang keperluan dan waktu yang sesuai untuk melaksanakan hukuman tersebut, tetapi ia tidak membuka ruang untuk kita mengejek hukum-hakam Allah ini kerana hukum-hakam ini bukan hukum manusia tetapi datangnya dari Allah melaui Al-Quran dan Sunnah.

Kalaupun tak suka dan tak berminat dengan hukum-hakam Allah sekalipun, jangan menghina dan mengejeknya. Kalau tak suka menutup aurat sekalipun, janganlah menghina orang yang menutup aurat dengan mengatakan memakai tudung dan jilbab ini tiada asas dalam Islam. Ia hanyalah amalan wanita Arab bagi mengelakkan terkena pasir atau mengelakkan gangguan lelaki Arab yang nafsunya kuat.

Kalau tak suka bangun malam atau berqiyamullail, jangan menuduh bangun malam bermunajat kepada Allah itu akan menyebabkan otak dan minda akan menjadi lembap dan bebal. Kalaupun suka bersalaman dengan orang yang bukan muhrim, janganlah menghina dan mengatakan orang yang enggan bersalam dengan bukan muhrim sebagai orang yang ketinggalan zaman, kolot dan punca perpecahan.

Kalaupun tidak mahu mengambil ketetapan keperluan mengutarakan empat saksi bagi pembuktian kes tuduhan zina atau qazaf, janganlah pula menghina keperluan empat saksi yang dianggap tak masuk akal itu sebegai kolot dan tak mampu menyelesaikan masalah.

Nah, banyak sangat jika mahu disingkap kesangsian dan keraguan umat Islam terhadap agama mereka sendiri. Saya tidak hairan atau pelik jika non-Muslim tidak inginkan hukum Islam tetapi saya amat dan sangat hairan jika umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak berminat malah menentang hukum Allah dan syariatNya.

Khatimah


Secara kesimpulannya, jika masih terdapat di dalam hati sanubari kita perasaan ragu terhadap Islam samada terhadap hukum-hakam dan syariatnya walau sekelumit, maka ada suatu yang tidak kena dengan pegangan aqidah kita.

Kadang-kadang kita tidak sedar, bila memberikan komen yang memperlekahkan hukum-hakam Allah, pegangan dan aqidah Islamiyyah kita boleh terjejas. Ambillah kesempatan di bulan Rejab yang penuh berkah ini untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan tentang perkara-perkara agama.

Hanya dengan ilmu dapat membolehkan kita membezakan haq dan batil di atas neraca Islam, bukannya ceraca aqal yang doskong oleh emosi dan sentimen. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang sebenar kepada Allah.

Ambillah watak Abu Bakar sebagai contoh dan tauladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi mengejeknya. Seterusnya, buangkan jauh-jauh watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak baik itu dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama islam yang sebenar.

Moga-moga Israk Mikraj yang bakal kita sambut pada bulan ini dapat memberi satu impak yang signifikan dan positif ke arah menjadikan diri kita Muslim dan Muslimah yang taatkan Allah dan RasulNya.

N.9, Johan Qari Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan.

KUCHING, 17 Jun (Bernama) -- Qari Negeri Sembilan Amirahman Abas dan qariah Johor Suraya Abu Hassan muncul johan tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan ke-54 yang berlangsung di Dewan Majlis Islam Sarawak Jumaat malam (gambar Hiasan) .

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, sijil dan pakej haji, serta mewakili Malaysia pada tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa.

Tempat kedua dimenangi qari Perak Anuar Hasin dan qariah Sarawak Roziah Ayup yang membawa pulang wang tunai RM7,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.

Pemenang tempat ketiga ialah qari Terengganu Ahmad Tirmizi Ali dan qariah Nor Azrah Ayub (johan menunggu) yang membawa pulang RM5,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil, manakala peserta lain menerima hadiah saguhati berupa wang tunai RM2,000, hadiah iringan dan sijil.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri Toh Puan Norkiah.

Seramai 29 qari dan qariah dari seluruh negara mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan '1Malaysia, 1Ummah" dan bermula 13 Jun lepas.

Tahniah Media Perdana Mengiklankan BERSIH 2 - Idris.

Bukan senang hendak mendapat liputan di media perdana mengenai aktiviti pembangkang  di negara ini. Nampaknya program Bersih 9 Julai 2011 mendapat liputan yang meluas di kaca televisyen dan dada akhbar. Sekalung tahniah diberikan kepada pemilik media, kerana mengiklankan program tak berbayar. Program Bersih sudah pun berjaya walaupun belum sampai masanya, kerana ia mendapat ulasan yang meluas oleh pemimpin BN. Ini adalah tanda aras kejayaan rakyat yang hendak memulih sistem demokrasi di negara ini.

Setakat hari ini lebih daripada 400 laporan polis yang dibuat oleh umno cuma berlainan nama untuk menggagalkan tuntutan rakyat. Datuk Seri Khalid Abu Bakar selaku Timbalan Ketua Polis Negara telah memberi amaran untuk membuat tangkapan awal sebagai usaha untuk menakutkan rakyat. Kita harapkan supaya pihak polis jangan dipandang oleh rakyat hanya untuk menjaga keselamatan umno, bukan keselamatan negara.

Bertindaklah secara profesional, bukan emosional. Kenapa demontrasi kepala lembu di Shah Alam  tidak ada gangguan. Setitik air pun tidak disembur kepada mereka. Sedangkan ini adalah demo yang berbentuk perkauman dan penghinaan kepada agama, ia boleh terbakar negara. Cuba bayangkan jika demo itu dibuat oleh penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka yang terlibat di sumbat di dalam ISA.



Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Pemuda PAS rasah ucap tahniah pada Taufek.

RASAH, 17 Jun: Ahli-ahli dan penyokong PAS Kawasan Rasah  mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Taufek Abd Ghani (gambar) yang telah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang baru.

Dengan perlantikan ini, kami yakin PAS dan Pakatan Rakyat mampu menawan Negeri Sembilan kerana pengalaman kemenangan dan seluruh jentera di Paroi boleh digunakan oleh Taufek untuk menawan Dewan Undangan Negeri yang lain dan seterusnya menawan Negeri Sembilan dalam PRU 13 kelak.

Mohamad Taufek seorang pemimpin yang sangat merendah diri dan ramah sehingga beliau sangat disenangi oleh semua pemimpin lain, ahli, penyokong Pakatan Rakyat dan semua pengundi dari pelbagai bangsa dan agama selain disokong kuat oleh pemimpin Kelab Penyokong PAS Negeri Sembilan dan Dun Paroi.


Kami menyeru kepada semua pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat dan PAS Negeri Sembilan khasnya untuk memberi sokongan, bantuan dan memudahkan urusan Haji Taufek untuk menjalankan tugasnya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan seterusnya menawan Negeri Sembilan dalam PRU 13 kelak, insya Allah,

Kami juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Zulkefly Mohd Omar atas perlantikan beliau sebagai AJK PAS Pusat.

Sekalung terima kasih juga diucapkan atas segala sumbangan beliau yang tidak boleh dinafikan untuk PAS Negeri Sembilan. Semoga beliau berupaya mengharumkan nama PAS Negeri Sembilan di PAS Pusat pula.

Kartun: Pemuda PAS Rasah Sokong Tindakan Pemuda PAS.



RASAH, 17 Jun: Dewan Pemuda PAS Rasah menyokong tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan menyerahkan memorandum ke ibu pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur , jam 9.00 pagi ini , bagi mendesak Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung penyiaran kartun menghina Islam di akhbar itu, semalam.

Demikian berita yang telah dipetik daripada harakahdaily.

Sehubungan itu, orang ramai yang prihatin dengan kepentingan Islam digesa bersama-sama Dewan Pemuda PAS Pusat ke ibu pejabat akhbar milik Umno itu di alamat 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, berdekatan LRT Chan Sow Lin bagi melakukan penyerahan memorandum tersebut.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi (gambar) menegaskan, penyerahan memorandum tersebut merupakan langkah awal oleh pihak pemuda PAS bagi mendesak Utusan Malaysia memohon maaf berhubung kesilapan besar yang dilakukan itu.

Menurut beliau, sekiranya desakan itu tidak dihiraukan oleh Utusan, Pemuda PAS akan mengadakan bantahan lebih keras dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran.

Katanya, tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan kartun menghina Islam semalam merupakan satu kesalahan besar yang tidak boleh dibiarkan.

"Karikatur itu jelas mempersendakan hukum dan agama Islam, apabila ia dilukis dengan memberi mesej dan gambaran hukum Islam sangat lemah sedangkan hukum Islam itu datangnya dari Allah, sifatnya adil dan pelaksanaannya sudah terbukti berkesan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Karikatur itu juga, menurut beliau, menggambarkan kolotnya Islam dengan seorang lelaki berjubah dan berserban menyelesaikan masalah berbanding dengan anggota polis, sekali gus menghina seluruh umat Islam.
Selain itu, ujarnya, ia cuba mengelirukan umat Islam dengan memperlihatkan hukum zina secara permukaan (surface) sedangkan hukum itu masih ada perinciannya dan untuk menjatuhkannya tidak semudah itu.

"Tindakan Utusan menyiarkan kartun itu, jelasnya, menimbulkan kemarahan umat Islam dan turut memperlihatkan niat Utusan untuk menimbulkan keadaan tidak menentu di kalangan umat Islam berhubung perlaksanaan hukum Allah," tegasnya.

Lakaran kartun yang disiarkan Utusan semalam bermotifkan sebagai satu penjelasan berhubung kekeliruan kes rogol, dengan memperlihatkan sikap Utusan yang sangat jahat apabila membenarkan sebuah karikatur yang mengakibatkan imej negatif kepada agama Islam. 

Karikatur tersebut cuba menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol dan membuktikannya dengan rakaman handphone, tetapi ditolak oleh tok penghulu kerana tiada empat saksi.

Manakala ketika wanita yang sama mengadu kepada polis, bukti rakaman rogol menggunakan telefon bimbit diterima oleh pihak polis.

Sindiran yang menghina itu dipercayai sengaja dicipta selepas PAS menolak ciptaan terbaru pemimpin Umno dengan video seks yang didakwa oleh mereka membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Sumber:  Harakahdaily.

REJAB bulan Allah.

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.

Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.

Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).

Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by ict_dppkr - Premium Blogger Themes